06 Jun 2026 — Penantian lebih setengah abad penduduk Teluk Intan untuk menikmati penyelesaian menyeluruh terhadap masalah banjir akhirnya berakhir apabila Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan RM80.5 juta bagi melaksanakan Projek Pembangunan Tebatan Banjir (RTB) Teluk Intan Zon A Fasa 2.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan, YB Tuan Nga Kor Ming berkata projek berimpak tinggi itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Beliau berkata projek RTB pintar itu bukan sahaja mengurangkan risiko banjir, malah bakal dilengkapi kemudahan rekreasi seperti lorong basikal, laluan joging dan landskap hijau yang dijangka siap pada 2028.
Menurut YBM, projek itu melibatkan pembinaan infrastruktur tebatan banjir sepanjang 5.65 kilometer bagi menghalang limpahan air Sungai Perak ke kawasan Bandar Teluk Intan dan sekitarnya.
Beliau berkata walaupun Fasa 1 projek RTB siap pada 2019, beberapa kawasan masih terjejas akibat limpahan air pasang, justeru pelaksanaan Fasa 2 akan menyelesaikan isu tersebut secara lebih menyeluruh dengan keseluruhan jajaran RTB sepanjang kira-kira tujuh kilometer.
Projek yang akan dilaksanakan serta-merta itu dijadual siap pada 2028 dan dijangka memberi manfaat kepada ribuan penduduk serta melindungi kediaman, premis perniagaan dan infrastruktur awam daripada risiko banjir.
Hadir sama semasa lawatan tersebut YB Tuan 吴家良 Woo Kah Leong (EXCO Kerajaan Negeri Perak) merangkap ADUN Pasir Bedamar, YBrs Puan Mufidah binti Mahfodz (Pegawai Daerah Hilir Perak), YBhg Dato’ Haji Meor Redwan Bin Mahayudin (OBJ Daerah Hilir Perak), YBrs Tuan Mohd Faizal bin Md Kasim (Yang Dipertua MPTI), YB Steven Chaw Kam Foon (Setiausaha Politik kepada YB Menteri KPKT) merangkap ADUN Menglembu dan Pengurusan Tertinggi KPKT.