1 JULAI 2026 (RABU) | Satu lembaran baharu buat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) apabila YBrs. Tuan Mohd Faizal bin Md Kasim, Yang Dipertua MPTI menyampaikan amanat sulung kepada seluruh warga MPTI sempena Perhimpunan Bulanan MPTI yang berlangsung di Dewan Bandaran Teluk Intan pada 1 Julai 2026.
Hadir sama YBrs Dr Nor Akmar Ibrahim, Setiausaha Majlis Perbandaran Teluk Intan, Pengarah Jabatan, Ketua Bahagian, Ketua Unit, Ketua Cawangan dan Seluruh Warga Kerja MPTI.
Dalam amanat tersebut, beliau menegaskan bahawa kejayaan sesebuah organisasi bukanlah bergantung kepada individu, sebaliknya lahir daripada semangat kebersamaan, kerjasama dan komitmen seluruh warga MPTI.
Enam fokus utama telah digariskan sebagai panduan dalam memperkukuh organisasi dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
1. Satu Pasukan MPTI (One Team MPTI)
Membudayakan semangat kerja berpasukan tanpa mengira jabatan, bahagian atau unit. Setiap warga MPTI memainkan peranan penting dalam memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan cekap, berkesan dan berkualiti.
2. Mengenal Pasti Kekuatan dan Kekurangan Jabatan
Setiap jabatan disaran menilai kekuatan yang dimiliki serta mengenal pasti ruang penambahbaikan. Budaya ilmu, komitmen dan pembelajaran berterusan perlu diperkasakan agar organisasi terus berkembang.
3. Pemantapan KPI, Semakan dan Tadbir Urus
Prestasi organisasi hendaklah diukur melalui impak sebenar kepada masyarakat. Tadbir urus yang baik, integriti, akauntabiliti dan ketelusan menjadi asas kepada penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.
4. Sinergi Visi dan Misi
Seluruh jabatan perlu bergerak seiring dengan visi, misi dan objektif MPTI. Kerjasama rentas jabatan akan memperkukuhkan organisasi dan mempercepatkan pencapaian matlamat yang telah ditetapkan.
5. Warga MPTI dan Ahli Majlis Seiring Sejalan
Hubungan erat antara pentadbiran dan Ahli Majlis perlu diperkukuhkan bagi memastikan setiap isu masyarakat dapat ditangani secara bersama, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap MPTI.
6. Ke Arah Bandar Pintar Terunggul
Hasrat menjadikan Teluk Intan sebagai bandar pintar bukan hanya tertumpu kepada penggunaan teknologi, malah merangkumi penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, bandar yang bersih, selamat, mampan dan mesra rakyat.
Turut ditekankan ialah penerapan nilai-nilai Integriti, Prestasi, Keseimbangan dan Komitmen sebagai budaya kerja yang perlu diamalkan oleh seluruh warga MPTI dalam melaksanakan amanah kepada masyarakat.
Semoga amanat ini menjadi pemangkin kepada seluruh warga MPTI untuk terus melangkah seiring, memperkukuhkan kerjasama serta memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kesejahteraan masyarakat dan kemajuan Bandar Teluk Intan.