BAGAN DATUK, 17 JUN 2025 - Menjunjung kasih kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah atas limpah perkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Dataran Waterfront Bagan Datuk.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri; YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak dan isteri, YBhg. Datin Seri Aezer binti Zubin.
Hadir sama, YTM Raja Kecil Tengah Perak Darul Ridzuan, Raja Dato' Seri Iskandar bin Raja Ziran @ Raja Zaid; YABhg. Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara), Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja bersama isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri DiRaja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; dan YB Dato' Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak bersama isteri, YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah.
Turut hadir, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Seluruh warga Bagan Datuk menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas keberangkatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku ke daerah ini. Keberangkatan dan limpah perkenan Tuanku amatlah bermakna buat rakyat terutama di Daerah Bagan Datuk, mencerminkan keprihatinan Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku terhadap usaha memperkasa pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan komuniti setempat.
Dataran Waterfront ini bukan sahaja menjadi tarikan pelancongan baharu, malah nadi pertemuan masyarakat yang merangkumi pelbagai elemen unik seperti jeti pelancongan, air pancut interaktif, replika tempurung kelapa dan jong, serta kemudahan riadah keluarga yang mesra pengunjung.
Justeru, pembangunan ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang memberi tumpuan kepada pembangunan seimbang antara kemajuan fizikal dan kesejahteraan spiritual rakyat. Semoga dataran ini akan terus berkembang sebagai mercu tanda kemegahan Bagan Datuk dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi yang mampan