MENU
 

Pangkah

Kod QR

Info Bagan Datuk

Bagan Datuk terletak di selatan Negeri Perak dengan jarak hampir 130 kilometer dari Bandaraya

Ipoh, Ibu Negeri Perak. Bagan Datuk sebelum ini berada dalam Daerah Hilir Perak, namun pada

Januari 2016, Bagan Datuk telah dinaik taraf sebagai sebuah daerah sendiri iaitu Daerah ke 12

dalam Negeri Perak. Bagan Datuk pernah muncul dalam peta dunia sebagai pengeluar kelapa

terpenting sekitar penghujung abad ke 19 sehingga pertengahan abad ke 20 yang telah

menyaksikan perubahan struktur fizikalnya selepas itu. Namun kegemilangannya tidak bertahan

lama dan kini Bagan Datuk hanya merupakan sebuah pekan dan daerah kecil yang masih

meneruskan legasi sosioekonomi warisan dari generasi terdahulu.

 

Nama Bagan Datuk hanya muncul penghujung abad ke 19, setelah kedatangan Tok Kelah bersama

pengikutnya. Sebelum ini kawasan Bagan Datuk dikenali sebagai Kuala Sungai Perak atau setengah

catatan menyebut Kuala Perak. Kuala Perak sebenarnya merujuk kepada muara Sungai Perak yang

menjadi pintu masuk ke Sungai Perak dari Selat Melaka. Ini kerana petempatan awal di Kuala

Perak yang muncul sebelum abad ke19 hanyalah di Kampung Pasang Api, namun tidak pula

diketahui tarikh sebenar kewujudannya. Walau bagaimanapun, Bagan Datuk menyimpan pelbagai

cerita yang perlu dibuka untuk perhatian pelbagai pihak dan pelbagai sudut yang mungkin

merintis pelbagai potensi hiliran samada dari aspek sosial mahupun ekonomi. Generasi hari ini

perlu mengetahui sejarah sebenar Bagan Datuk agar pencapaian lalu boleh dijadikan inspirasi

kepada kehidupan mereka hari ini seterusnya mengembalikan kegemilangan Bagan Datuk itu

sendiri.

 

Kajian ini menyingkap sejarah Bagan Datuk dari aspek peranannya sebagai lokasi maritim yang

penting bagi Negeri Perak. Bagan Datuk pernah muncul sebagai pelabuhan antarabangsa kesan

pengeluaran kelapa yang mendapat permintaan pelbagai negara di awal abad ke 20. Namun

sejarah maritim Bagan Datuk bermula jauh lebih awal dari itu dengan peristiwa pemudikkan

Sultan Perak Pertama, Sultan Muzafar Shah pada tahun 1528. Peranan Bagan Datuk berterusan

releven sehingga ke era kolonial dan juga pasca kemerdekaan. Hari ini nama Bagan Datuk hanya

dikaitkan dengan sebuah pekan kecil yang di pacu oleh aktiviti perikanan dan hasil laut serta

kelapa sawit. Walaupun tanaman kelapa masih berterusan sehingga kini namun tidak sehebat

semasa era kemuncaknya.

 

Rentetan itu adalah perlu satu kajian dijalankan bagi mendedahkan latar belakang sebenar Bagan

Datuk dari skop peranan maritimnya agar masyarakat hari ini menyedari kepentingan tersebut

berkait rapat dengan pembentukan sosioekonomi yang mereka warisi. Kajian ini dibahagi kepada

lima peranan utama iaitu; peranannya sebagai lokasi pemudikan Sultan Perak Pertama, lokasi

penanda pintu masuk ke Sungai Perak, pelabuhan singgah, pelabuhan antarabangsa dan akhir

sekali peranan Bagan Datuk hari ini dalam aktiviti perikanan kawasan Selatan Perak.